HomeGlobalSukar dikebumikan, mayat rakyat Palestin jadi habuan anjing liar

Sukar dikebumikan, mayat rakyat Palestin jadi habuan anjing liar

SERANGAN berterusan rejim pengganas Israel ke atas Gaza bukan sahaja menyebabkan ribuan rakyat Palestin menjadi korban, malah jenazah mereka juga sukar untuk dikebumikan mengikut kaedah sepatutnya.

Malah, mayat rakyat Palestin yang bergelimpangan di halaman hospital menjadi habuan buat anjing liar.

Perkara itu didedahkan oleh seorang pegawai Kementerian Kesihatan, Munir al-Bursh kepada Al-Jazeera.

Sementara itu, seorang doktor yang bertugas di Hospital Al-Shifa, Ahmad Mukhallati berkata, orang ramai tidak boleh melakukan pergerakan keluar dari kemudahan itu, malah mereka juga tiada lokasi sesuai untuk menanam mayat.

Pada masa sama, beliau memberi amaran bahawa, bayi pramatang berdepan dengan risiko kematian akibat kekurangan bahan api.

Beliau berkata, lima bayi pramatang sudah pun meninggal dunia sejak beberapa hari lalu.

“Ini bermakna kita sedang menunggu mereka mati satu demi satu,” kata Ahmad yang juga Ketua Jabatan Pembedahan Plastik di hospital itu kepada Middle East Eye.

Hospital Al-Shifa merupakan kompleks perubatan terbesar di Gaza yang diumumkan tidak lagi beroperasi pada hujung minggu ini.

Ini berikutan rejim pengganas Israel memperhebat serangan bom ke kawasan sekitar hopsital itu serta melakukan pengepungan sejak Jumaat lalu.

Mengulas lanjut, Ahmad menggesa agar pembunuhan beramai-ramai segera dihentikan, manakala pembukaan koridor selamat perlu dilaksanakan bagi membenarkan pesakit dipindahkan dari hospital itu.

Jelasnya, tiada sebarang bekalan air mahupun elektrik disambungkan di hospital itu, malah makanan dan bahan api hampir kehabisan.

“Kami hanya mempunyai satu soket tempat kami meletakkan mesin anestesia.

“Kami tidak mampu melakukan apa-apa kecuali prosedur menyelamatkan nyawa,” katanya.

Tambahnya, mesin inkubator untuk kegunaan bayi memerlukan kuasa elektrik yang tinggi.

“Bayi-bayi itu perlu diasingkan sepenuhnya dari kawasan sekitar supaya mereka tidak mendapat sebarang jangkitan kerana imuniti mereka masih belum matang,” jelasnya.

Turut menyatakan kebimbangan sama, seorang lagi pakar bedah mendakwa bahawa, keadaan di hospital itu adalah sangat teruk dan tidak diketahui oleh orang luar.

Pakar itu mendakwa, terdapat 600 pesakit dan 37 bayi di hospital tersebut, manakala kakitangan perubatan tidak boleh sama ada meninggalkan atau memindahkan mereka.

“Kami tidak mempunyai bekalan elektrik. Tiada air dan makanan. Mereka akan mati dalam beberapa jam tanpa ventilator berfungsi,” katanya menerusi nota suara pada awal pagi Isnin.

Setakat ini, lebih 11,320 rakyat Palestin terkorban termasuk lebih 4,650 kanak-kanak dan 3,145 wanita, manakala lebih 29,200 yang lain cedera sejak negara itu diserang rejim pengganas Israel pada 7 Oktober lalu.

Author

Pilihan Editor