HomeBeritaTak perlu lesenkan kenderaan mikromobiliti - MOT

Tak perlu lesenkan kenderaan mikromobiliti – MOT

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan menganggap tiada keperluan melesenkan kenderaan mikromobiliti termasuk skuter elektrik pada masa ini.

Lapor Berita Harian, ini berikutan peraturan penggunaan kenderaan itu sudah diwarta dalam Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti Tertentu) 2021.

Timbalan Menteri, Datuk Hasbi Habibollah berkata, pelesenan untuk kenderaaan mikromobiliti itu pernah disuarakan dan dibincangkan tetapi ia tidak mendapat reaksi yang baik dalam kalangan rakyat.

“Kita pertimbangkan keperluannya kerana ia membabitkan aktiviti melintasi jalan raya serta isu keselamatan berikutan ia digunakan di atas jalan yang mempunyai percampuran trafik dengan mod kenderaan lain.

“Memang pernah disuarakan dan dulu basikal pernah kita lesenkan… kini timbul persoalan sama ada basikal dan kenderaan mikromobiliti ini dilesenkan tetapi maklum balas rakyat tidak menggalakkan.

“Setakat ini, kenderaan mikromobiliti dan basikal tertakluk kepada peraturan yang kita tetapkan dalam kaedah peraturan penggunaan kenderaan itu,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam), yang ingin mengetahui sama ada kenderaan mikromobiliti perlu dilesenkan kerana ia membabitkan aktiviti melintasi jalan raya.

Sementara itu, Hasbi menjelaskan, Kementerian Pengangkutan melaksanakan langkah awal dengan mengeluarkan peraturan Larangan Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti Tertentu di atas jalan bagi melindungi kebajikan dan keselamatan semua pengguna jalan raya termasuk pengguna kenderaan mikromobiliti sendiri.

“Berkenaan dengan penggubalan undang-undang khusus bagi membenarkan penggunaan kenderaan mikromobiliti, adalah dimaklumkan bahawa perkara ini sudah dinyatakan dalam warta peraturan 3 (2) dalam Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti Tertentu) 2021.

“Peraturan itu memperuntukkan kuasa kepada menteri untuk mengecualikan larangan itu di mana-mana jalan atau mana-mana bahagian jalan tertakluk kepada apa-apa syarat yang ditentukan.

“Dalam hal ini, pihak berkuasa yang berkenaan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hendaklah membangunkan dan mewartakan infrastruktur laluan khas bagi penggunaan kenderaan mikromobiliti (seperti laluan basikal) dan mengemukakan permohonan pengecualian larangan daripada Kementerian Pengangkutan,” katanya.

Author

Pilihan Editor