HomeBeritaMahkamah & JenayahTun M mohon untuk batalkan saman dikemukakan Halim Saad

Tun M mohon untuk batalkan saman dikemukakan Halim Saad

 

KUALA LUMPUR: Tiga pihak, termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, memohon untuk membatalkan saman dikemukakan ahli perniagaan, Tan Sri Halim Saad, atas alasan remeh, menyusahkan dan penyalahgunaan proses mahkamah.

Ia berhubung dakwaan ahli perniagaan terbabit mengalami kerugian selepas diarahkan kerajaan menjual saham miliknya dalam Renong Bhd, 23 tahun lalu.

Ketiga-tiga pihak itu selaku defendan memohon perintah supaya writ dan pernyataan tuntutan Halim sebagai plaintif dibatalkan dengan kos di bawah Aturan 18 Kaedah 19(1)(b) dan (d) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

“Secara alternatifnya, tuntutan plaintif dibatalkan di bawah bidang kuasa sedia ada mahkamah.

“Semua prosiding terhadap semua defendan digantung hingga keputusan muktamad permohonan dan kosnya ditanggung sepenuhnya oleh plaintif.

“Apa-apa relif atau perintah lain difikirkan manfaat oleh mahkamah,” kata semua defendan menerusi notis permohonan difailkan Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili mereka di Mahkamah Tinggi pada Khamis lalu.

Halim menerusi saman itu dilaporkan berkata, tuntutan berdasarkan pelanggaran haknya oleh Kerajaan Malaysia ketika diarahkan Dr Mahathir dan Nor Mohamed untuk tidak meneruskan pemerolehan 32.69 peratus dalam Renong Berhad daripada United Engineers Malaysia Berhad (UEM).

Ia menurut Opsyen Jual yang dilaksanakan ke atasnya oleh UEM pada Disember 2000.

Ketika itu, Dr Mahathir atas kapasiti sebagai Perdana Menteri dan Nor Mohamed pula sebagai Penasihat Ekonomi Khas kepada Perdana Menteri.

Halim berkata, pada masa material, Renong memegang 37.92 peratus saham UEM dan beliau pemegang saham individu tunggal terbesar dan mengawal Renong.

Katanya, beliau berniat untuk membuat tawaran am ke atas UEM, sama ada melalui Renong atau bersama Renong untuk menswastakan UEM sebagai anak syarikat Renong yang akan membolehkan beliau memperoleh kawalan dan milikan penuh ke atas UEM melalui Renong.

Beliau diarahkan oleh Dr Mahathir dan Nor Mohamed secara langsung supaya tidak meneruskan tawaran am kerana kerajaan ingin mengambil semua saham dalam UEM melalui Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) atau pihak yang akan dicalonkan oleh Khazanah.

Halim memohon perisytiharan, antaranya beliau pemegang saham Renong dan bukannya UMNO, selain mendakwa kerajaan melanggar Perkara 8 (1) atau Perkara 13 (2) Perlembagaan Persekutuan kerana gagal memberikan pampasan yang memadai kepadanya.

Beliau juga memohon perintah supaya kerajaan membayar pampasan kepadanya dan menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan atau teruk, faedah, kos atau relif yang sesuai oleh mahkamah. – Harian Metro

Author

Pilihan Editor