NIAT seorang lelaki untuk melakukan aktiviti mencuri di sebuah kediaman terbantut, selepas dia tertidur dan berdengkur dengan kuat sehingga mengejutkan pemilik rumah.
Lapor South China Morning Post, pencuri itu pada mulanya memecah masuk sebuah rumah di wilayah Yunnan, China, pada waktu malam, 8 November lalu.
Pada mulanya, dia mengambil langkah untuk bersembunyi di dalam sebuah bilik, apabila terdengar perbualan pemilik rumah tersebut.
Sambil menghisap rokok, lelaki itu menunggu sehingga pemilik rumah itu tidur sebelum meneruskan aktiviti jenayahnya.
Bagaimanapun, pencuri terbabit tertidur akibat terlalu lama menunggu di bilik tersebut.
Sementara itu, pemilik rumah yang dikenali sebagai Tang tidur bersama anaknya ketika kejadian, sebelum dikejutkan dengan dengkuran kuat.
Dia pada mulanya mengabaikan bunyi tersebut kerana menganggap ia datang dari jirannya.
Namun, apabila Tang meninggalkan bilik tidur untuk mencuci botol susu anaknya, dia menyedari bahawa dengkuran semakin kuat dan mengesan bahawa ia datang dari sebuah bilik di dalam rumahnya.
Apabila pintu bilik dibuka, dia terkejut apabila mendapati seorang lelaki tidak dikenali sedang tidur lena di atas lantai.
Lantaran itu, Tang kemudian bergegas memaklumkan perkara tersebut kepada ahli keluarganya dan menghubungi pihak polis untuk menahan lelaki berkenaan.
Pencuri digelar ‘Sleepy Yang’
Pencuri itu yang dikenali sebagai Yang memiliki rekod jenayah dan pernah dipenjarakan atas kesalahan mencuri pada tahun 2022.
Selepas dibebaskan pada September lalu, lelaki itu seakan-akan tidak serik dan kembali meneruskan profesion lamanya.
Polis masih melakukan siasatan berhubung kes membabitkan pencuri terbabit.
Lelaki itu digelar ‘Sleepy Yang’ berikutan kisahnya yang mengantuk ketika mahu melakukan aktiviti mencuri.
Kisah itu turut mendapat perhatian daripada warganet, yang rata-ratanya dilihat geli hati dan bertindak mengejeknya.
“Ini terlalu lucu. Pencuri itu membawa polis ke depan pintu rumah,” kata seorang individu.
Perli seorang individu: “Kalau dia letih sangat, mungkin dia tak sepatutnya ‘bekerja’ lebih masa.”
Tambah seorang lagi: “Saya tertanya-tanya apa hukuman bagi individu yang memecah masuk rumah dan tidak mencuri apa-apa?”
September lalu, seorang pencuri ditahan selepas tertidur di bawah katil sebuah kediaman, ketika bersembunyi selepas kepulangan tuan rumah di wilayah Jiangxi, China.