HomeHiburanTak wajar samakan konsert Aina, Coldplay - Lah Ahmad

Tak wajar samakan konsert Aina, Coldplay – Lah Ahmad

PETALING JAYA: Penyanyi Lah Ahmad, 43, berpendapat tidak wajar menyamakan Konsert A Night With Aina Abdul (ANWAA) 3.0 dengan konsert kumpulan popular dari Britain, Coldplay: Music Of The Spheres World Tour yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Ia susulan terdapat beberapa pihak yang mempersoalkan mengapa konsert Aina tetap boleh berlangsung pada saat umat Islam sedang berduka dengan nasib yang menimpa rakyat Palestin susulan kekejaman dilakukan rejim Zionis.

Lah berduet bersama Aina pada ANWAA 3.0 dengan menyanyikan lagu Tunggu Kamu berkata, sebelum hendak memboikot, seseorang itu perlu memahami dengan betul mengenai isu yang melanda Palestin ketika ini.

“Saya tidak bersetuju menyamakan konsert Aina dan Coldplay yang bakal berlangsung esok. Contoh konsert Aina, dia sendiri menyanyikan lagu ‘tribute’ berjudul Atouna El Toufoule kepada Palestin.

“Bukan hendak kata anti Coldplay, saya pun minat kumpulan itu, cuma tidak beli tiket konsert. Coldplay adalah band lama dan legenda tapi mereka bukan Islam dan ada pandangan masing-masing.

“Hendak boikot kita perlu ada ilmu dan buat mana yang termampu. Contohnya, dari segi boikot makan dan membeli barangan. Saya dan isteri turut melakukan perkara sama.

“Namun, saya melihat isu boikot ini lebih berpanjangan berbanding sebelum ini yang hanya bertahan beberapa minggu sahaja,” katanya ditemui pada majlis pelancaran single berjudul Alhumaira ciptaan Hafiz Hamidun di sebuah restoran di sini, hari ini.

Terdahulu, Konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour menimbulkan pelbagai reaksi termasuk gesaan kepada kerajaan untuk membatalkannya.

Rentetan itu, terdapat beberapa pihak yang turut menggesa perkara sama dilakukan terhadap penganjuran konsert serta program hiburan di negara ini.

Sementara itu, mengulas mengenai single Alhumaira, Lah atau nama sebenar, Abdullah Ahmad berkata, dia mengangkat mesej untuk menghargai kaum wanita termasuk menyifatkan karya berkenaan memberi makna besar buat dirinya.

“Sebagai penyanyi, saya akan mendalami maksud lirik yang ingin disampaikan. Selepas saya menghayati bait-bait lirik lagu ini, saya merasakan lagu Alhumaira bukan sekadar lagu cinta semata-mata, tetapi ia mengenai kesyukuran dan kesetiaan seorang lelaki kepada wanita yang dicintainya.

“Saya juga suami, jadi lagu ini begitu istimewa jika disampaikan untuk isteri tersayang. Pada saya, kelembutan seseorang wanita itu akan dikuatkan oleh janji dan setia suami. Saya harap pendengar juga dapat merasakan perasaan yang sama,” katanya. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor