BAITULMUQADDIS: Tentera Israel memberi amaran pada petang Khamis bahawa mungkin terdapat perubahan dalam perjanjian jeda kemanusiaan dengan Hamas di Genting Gaza.
“Ini akan menjadi hari yang rumit. Tiada yang muktamad sehingga ia benar-benar berlaku. Dan walaupun di tengah-tengah proses itu, mungkin terdapat perubahan pada bila-bila masa,” kata jurucakap tentera Daniel Hagari pada sidang akhbar.
Dia memberi amaran bahawa Hamas akan cuba menggunakan perjanjian itu untuk menyebarkan “ketakutan, salah maklumat dan keganasan psikologi” terhadap orang awam Israel.
Perjanjian itu bukan “penghujung proses, tetapi permulaan,” kata Hagari.
Perjanjian jeda kemanusiaan antara Israel dan Hamas di Genting Gaza dijadualkan bermula pada 7 pagi waktu tempatan (0500GMT) pada Jumaat.
“Kumpulan pertama tebusan awam akan ditukar kira-kira jam 4 petang pada Jumaat,” kata jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed al-Ansari pada sidang akhbar di Doha.
Tambahnya, 50 tebusan akan dibebaskan dalam tempoh empat hari.
“Kumpulan pertama tebusan akan termasuk 13 wanita dan kanak-kanak,” tambahnya.
Israel menganggarkan sekurang-kurangnya 239 warga Israel ditahan Hamas berikutan serangan rentas sempadan oleh kumpulan pejuang Palestin pada 7 Oktober.
Israel melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti di Genting Gaza berikutan serangan Hamas, membunuh lebih 14,854 rakyat Palestin, termasuk 6,150 kanak-kanak dan lebih 4,000 wanita, menurut pihak berkuasa kesihatan di kawasan itu.
Angka kematian Israel, sementara itu, adalah sekitar 1,200, menurut angka rasmi. – Anadolu