SYARIKAT automatif, Tesla dalam perancangan mengeluarkan kereta elektrik (EV) mampu milik berharga sekitar €25,000 (RM124,229) di kilang pengeluarannya di Berlin, Jerman.
Lapor New York Post, perkara itu didedahkan oleh sumber dalaman dan ia adalah perkembangan yang telah lama ditunggu ketika Tesla menyasarkan dominasi pasaran mampu milik.
Difahamkan, Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk sudah lama merancang untuk menghasilkan EV mampu milik namun pihaknya masih belum menguasai teknologi tersebut dan terpaksa menangguhkan rancangan itu pada tahun lepas.
Bagaimanapun, sumber memberitahu agensi berita Reuters pada September lepas bahawa, pembuat kereta itu sedang menerokai inovasi yang membolehkan ia menyatukan hampir semua bahagian bawah EV menjadi satu komponen.
Ia dilihat sebagai kejayaan yang akan mempercepatkan pengeluaran dan mengurangkan kos.
Langkah memperluas jualan kepada pasaran mampu milik adalah penting untuk memenuhi matlamat Tesla bagi meningkatkan penghantaran kenderaan menjadi 20 juta unit menjelang 2030.
Dalam pada itu, menurut sumber sama, Musk ketika lawatannya ke kilang di Gruenheide Jumaat lalu memberitahu pekerja mengenai rancangan membina model EV mampu milik di kemudahan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan tempoh masa kenderaan itu akan mula dihasilkan.