JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bakal melantik Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Pemangku Sultan, sepanjang baginda melaksanakan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17.
Sultan Ibrahim bertitah, mengikut Perlembagaan, sepanjang tempoh memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong, baginda perlu melepaskan tampuk pemerintahan negeri kepada Tunku Mahkota Johor.
Justeru, baginda mengamanahkan kerajaan negeri untuk memberi tunjuk ajar kepada Tunku Mahkota Johor.
“Sama macam mana saya dibimbing sebagai Pemangku Sultan ketika Almarhum ayahanda saya menjadi Yang di-Pertuan Agong, pada tahun 1984.
“Pemangku Sultan akan memikul tanggungjawab untuk menjaga negeri dan rakyat Johor, serta menjalankan segala hak dan kuasa pemerintahan negeri kecuali sebagai Ketua Agama Islam.
“Walaupun bersemayam di Istana Negara, ini bukan bermakna saya berhijrah terus ke Kuala Lumpur. Saya akan selalu balik ke Johor kerana ini kampung saya. Harap orang Johor janganlah lupakan saya dan janganlah buat tak kenal saya selepas ini,” titah baginda di akaun Facebook rasmi pada Rabu.
Titah ucapan Sultan Ibrahim itu adalah sempena Majlis Istiadat Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Ke-65 di Dewan Singgahsana Istana Besar Johor Bahru pada Rabu.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim turut mengingatkan pegawai kerajaan supaya jangan campurkan urusan politik di dalam pentadbiran kerajaan.
“Setiap keputusan dibuat hendaklah bersandarkan kepada kepentingan rakyat dan kerajaan, bukan disebabkan kepentingan politik.
“Jalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan jujur dan amanah. Anda semua sudah memahami cara saya dan jangan buang masa dan jangan banyak temberang.
“Saya juga akan tinggalkan satu mata dan telinga di Johor untuk memantau apa yang berlaku di sini. Jangan terkejut jika saya tiba-tiba menjelma ke mana-mana daerah,” titah baginda.