HomeBerita'Kill Switch' akan diaktifkan jika konsert Coldplay buat hal - Fahmi Fadzil

‘Kill Switch’ akan diaktifkan jika konsert Coldplay buat hal – Fahmi Fadzil

CYBERJAYA: ‘Kill Switch’ akan diaktifkan dalam konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur yang bakal berlangsung malam ini, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Menurutnya, perkara itu adalah sebahagian butiran yang dibincangkan Agensi Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) dengan penganjur konsert tersebut.

“Ya (Kill Switch) adalah antara perkara yang dibincangkan dengan penganjur. Setakat ini, perbincangan PUSPAL dengan penganjur adalah positif.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga berkata kumpulan itu sangat menyokong Palestin. Kami optimis dengan konsert hari ini,” katanya memetik Berita Harian.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada ‘Kill Switch’ terpakai untuk konsert Coldplay malam ini.

Dalam pada itu, Fahmi menasihatkan orang ramai yang menghadiri konsert itu supaya menggunakan kemudahan pengangkutan awam bagi kelancaran perjalanan ke konsert berkenaan

Malah, katanya, kemudahan tempat solat tambahan turut disediakan untuk memudahkan pengunjung beragama Islam menunaikan solat.

Untuk makluman, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) telah meminta penganjur konsert bagi artis luar negara untuk mewujudkan ‘Kill Switch’ bagi mengelakkan insiden yang dilakukan oleh kumpulan The 1975 pada Good Vibes Festival 2023 berulang.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching baru-baru ini dilaporkan berkata, ‘Kill Switch’ itu untuk menghentikan konsert berkenaan atau memutuskan bekalan elektrik supaya persembahan itu tidak dapat dijalankan.

Katanya, perkara itu ialah garis panduan daripada insiden yang berlaku sebelum ini dan kementerian berharap dengan garis panduan yang lebih ketat dapat memastikan bahawa persembahan yang dilakukan oleh artis luar negara dapat mengikut budaya di Malaysia.

Author

Pilihan Editor