KLANG: Kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) membabitkan warga Rohingya ke negara ini dikesan ketara pada Disember dan Januari pada setiap tahun.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim R Vincent berkata, trend kemasukan pada kedua bulan ini turut berlaku melibatkan negara lain.
“Kalau kita kaji dalam beberapa tahun kebelakangan ini, memang trend kemasukan warga Rohingya ini pada bulan Disember dan Januari dan perkara ini berlaku termasuk di Malaysia.
“Bagaimanapun, penguatkuasaan memang kita sentiasa pertingkatkan dari masa ke masa, sekiranya dikesan memang kita akan ambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berkaitan Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023 di Kapal Maritim (KM) Pekan di perairan Klang dekat sini pada Selasa.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kemungkinan kemasukan PATI berkenaan selepas diusir dari Aceh sebelum ini, beliau berkata, belum ada sebarang cubaan memasuki perairan negara yang dikesan setakat ini.
“Maritim Malaysia sentiasa siap siaga dalam mana-mana cubaan menerobos masuk ke negara ini terutama bagi kawasan perairan di utara semenanjung.
“Setakat ini, kita belum kesan (kemasukan PATI Rohingya itu).
“Sekiranya ada, Maritim Malaysia khasnya sebelah Langkawi dan Pulau Pinang bersiap sedia untuk diatur gerak,” katanya.
Minggu lalu, beberapa portal antarabangsa melaporkan beratus warga Rohingya tiba di tepi pantai Ulee Madon, Muara Batu, Aceh Utara menggunakan sebuah kapal kayu sebelum kedatangan mereka itu tidak diterima penduduk di kawasan terbabit.
Bagaimanapun, penduduk di kawasan berkenaan kemudiannya memberikan makanan serta minuman kepada warga Rohingya terbabit sebelum mengarahkan mereka menaiki semula kapal. – Sinar Harian