HomeBeritaViralKonsert Siam di Bachok, penganjur tampil beri penjelasan

Konsert Siam di Bachok, penganjur tampil beri penjelasan

CYBERJAYA: Tular video di media sosial memaparkan penganjuran konsert di Kampung Balai bawah jajahan Bachok, Kelantan yang didakwa berlangsung pada Jumaat lalu.

Dalam video itu, kelihatan sekumpulan penyanyi wanita dikenali Thungpang yang berasal dari Thailand membuat persembahan dengan berpakaian kurang sopan.

Lantaran itu, Ketua Sami di Wat Pathumviharn Kampung Balai, Phor Than Plen tampil memberi penjelasan berhubung video berkenaan dengan menyatakan bahawa konsert berkenaan dibuat bersempena sambutan perayaan utama kaum Siam dan penganjurannya mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Katanya, acara persembahan berlangsung pada 25 November lalu sempena perayaan Loy Krathong disambut selama 29 tahun di Wat Pathumviharn dan dianggap acara tahunan yang meriah.

“Kita sudah memohon kebenaran dan melantik anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi menjaga keamanan. Kami membuat permohonan kepada polis dan menjelaskan semua acara diadakan di Wat Pathumviharn.

“Kami tetapkan garis panduan kepada semua penyanyi yang dijemput, pakaian dan pertuturan mereka juga dikawal. Semua pihak berkuasa begitu memahami dan memberikan kerjasama yang baik,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Selasa.

Tambah Than Plen, beliau turut khuatir apabila isu ini dibangkitkan kerana bimbang mengeruhkan suasana harmoni antara kaum di Kelantan serta memberi imej tidak baik kepada Wat Pathumviharn.

“Untuk pengetahuan semua, persembahan nyanyian dalam kalangan masyarakat Siam merupakan satu acara istimewa. Ramai masyarakat muda Siam akan tertarik untuk datang ke Wat, kerana hanya diadakan sekali setahun.

“Kami amat mengalu-alukan kehadiran anak muda Siam ke Wat kerana dengan cara ini mereka boleh bergaul dengan sami, boleh belajar sedikit amalan agam, dan banyak lagi aktiviti lain. Paling penting mereka tidak akan berasa janggal untuk datang ke Wat,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut berharap semua pihak memahami bahawa acara keagamaan, nyanyian, kebudayaan, permainan tradisional dan lain-lain yang diadakan bermatlamat untuk kebaikan kaum Siam dan penganut agama Buddha.

“Kami ingin memberikan penghargaan kepada pemerintah memahami keadaan masyarakat Siam dan penganut Buddha di Kelantan.

“Kita rakyat Kelantan memang terkenal dengan semangat bersepakat walaupun berlainan pendapat dan agama, tetapi sifat hormat menghormati sudah diajar kepada kami sejak sekian lama.

“Justeru, kami amat berharap semua pihak tidak lagi mengeruhkan air yang sudah lama jernih kerana apabila air sudah keruh, semua orang tidak akan nampak apa-apa dan tiada tujuan untuk digapai,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor