YAMAN menembak jatuh dron canggih milik Amerika Syarikat (AS), ketika pesawat udara kawalan jauh itu melakukan operasi menyokong rejim pengganas Israel.
Angkatan tentera Yaman dalam kenyataan pada Rabu berkata, dron MQ-9 Reaper ditembak menggunakan peluru berpandu ketika ia sedang melalui ruang udara perairan negara itu.
Menurut kenyataan disiarkan di saluran televisyen al-Masirah, pesawat terbabit menjalankan operasi pengintipan bagi rejim Zionis.
“Angkatan tentera Yaman berhak mempertahankan negara serta menghadapi semua ancaman musuh.
“Pergerakan ini tidak berfungsi menghalang Angkatan Tentera Yaman daripada menjalankan operasi ketenteraan terhadap rejim Zionis dan menyokong negara Palestin,” kata jurucakap tentera, Yahya Saree seperti dilapor Press TV.
Tentera Yaman baru-baru ini melakukan beberapa operasi ketenteraan menyasarkan Israel, sebagai tindak balas negara haram itu melakukan serangan berterusan di Gaza.
Malah, serangan rejim Zionis telah membunuh lebih daripada 10,500 rakyat Palestin sejak 7 Oktober lalu.
Selasa lalu, angkatan tentera negara itu melancarkan serangan dron berskala besar di wilayah diduduki Israel, sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin di Gaza.
Pada 31 Oktober lalu, tentera Yaman melancarkan serangan berskala besar terhadap Israel dengan menggunakan sejumlah besar peluru berpandu balistik dan dron.
Tentera Yaman juga berikrar untuk terus melakukan serangan selagi rejim Zionis masih meneruskan perang ke atas Gaza.