PARA pesakit bergelimpangan di jalanan tanpa sebarang penjagaan, manakala nyawa mereka turut terancam akibat serangan berterusan Israel di Genting Gaza.
Perkara itu diumumkan oleh Ketua Pengarah Hospital Gaza, Muhammad Zaqout, selepas dua hospital kanak-kanak terpaksa dikosongkan pada Ahad.
“Hospital kanak-kanak Al-Nasr dan Rantisi yang terpaksa dipindahkan menyebabkan pesakit berada di jalanan tanpa penjagaan.
“Kami telah terputus hubungan sepenuhnya dengan penjaga di kedua-dua hospital ini,” katanya seperti dilapor Press TV.
Rejim pengganas Israel memaksa untuk mengosongkan kemudahan kesihatan itu selepas mendakwa kononnya, sudah membuka laluan tambahan untuk memudahkan laluan selamat orang awam ke selatan Gaza.
Sebelum ini, Muhammad menyifatkan serangan rejim Zionis di hospital Al-Shifa sebagai satu malapetaka, manakala tiada sesiapa boleh memasuki atau meninggalkan bangunan itu.
“Kita mesti selamatkan bayi pramatang,” katanya.
Beliau berkata demikian sehari selepas dua bayi pramatang kehilangan nyawa, apabila unit rawatan rapi (ICU) neonatal di hospital itu tidak berfungsi akibat kekurangan bekalan elektrik.
Tambahnya, Kementerian Kesihatan Gaza tidak lagi dapat melaporkan angka kematian dan kecederaan sebenar akibat kekurangan akses, malah salah seorang pegawai hospital Al-Shifa mengumumkan bahawa berpuluh-puluh mayat telah ditinggalkan berhampiran hospital.
Lebih separuh daripada hospital di Gaza telah ditutup dalam beberapa minggu kebelakangan ini, berikutan Israel terus berdegil untuk bersetuju dengan cadangan gencatan senjata.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnha 11,000 rakyat Palestin telah terbunuh, manakala hampir 27,490 yang lain cedera akibat serangan rejim Zionis sejak 7 Oktober lalu.
Nyawa rakyat Palestin ketika ini bukan setakat terancam, malah Israel turut memberi tekanan mental dengan menghalang bantuan keperluan asas seperti elektrik, air, makanan dan bahan api kepada lebih dua juta penduduk Gaza.