HomeBeritaMahkamah & Jenayah22 individu beri keterangan kes pelajar calon SPM mati dilanggar pegawai polis

22 individu beri keterangan kes pelajar calon SPM mati dilanggar pegawai polis

IPOH: Polis merekodkan keterangan 22 individu bagi membantu siasatan berhubung kematian pelajar berusia 17 tahun yang maut dilanggar kereta dipandu seorang pegawai polis berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Meru di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan berkata, daripada jumlah itu, 14 saksi tampil membantu siasatan dan 13 daripadanya adalah pelajar dan orang awam.

Beliau berkata, polis merekodkan keterangan mereka mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah (CPC).

“Selain mereka, polis turut merekodkan lapan lagi keterangan individu berkaitan kes ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan individu yang direkodkan (keterangan) seramai 22 orang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ketika ditanya sama ada anggota polis berusia 44 tahun itu akan didakwa esok selepas remannya tamat, Mohd Yusri hanya mengatakan, “tunggu esok.”

Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari Jumaat lalu itu, mangsa yang juga calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, meninggal dunia di tempat kejadian selepas dipercayai diseret sejauh lebih lima meter oleh kereta yang melanggarnya.

Mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumahnya di Chemor.

Difahamkan, sebelum kejadian, berlaku pertengkaran membabitkan pegawai polis yang memandu Perodua Ativa dan remaja terbabit yang didakwa membuat bising dengan motosikalnya.

Susulan itu, pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan mengejar mangsa hampir satu kilometer sebelum merempuh remaja terbabit dari arah belakang.

Akibat rempuhan itu, mangsa terjatuh sebelum diseret hampir lima meter dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pada hari sama, polis menahan pegawai kanan polis terbabit dengan hasil bedah siasat terhadap mangsa di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini mendapati punca kematiannya adalah kecederaan pada bahagian dada dan perut akibat kemalangan jalan raya.

Akibat rempuhan itu, mangsa terjatuh, diseret hampir lima meter dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pada hari sama, polis menahan seorang pegawai kanan polis yang didakwa merempuh mangsa dengan keretanya.

Bedah siasat yang dijalankan ke atas pelajar di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini mendapati punca kematiannya adalah kecederaan di dada dan perut akibat kemalangan jalan raya.

Media sebelum ini, melaporkan pegawai polis itu direman tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan. – Harian Metro

Author

Pilihan Editor