BANDAR GAZA, Palestin: Tiga kanak-kanak Palestin terbunuh dan 12 cedera dalam serangan pengeboman Israel, menurut Kementerian Dalam Negeri Palestin di Genting Gaza.
Korban berlaku apabila Israel menyasarkan sebuah rumah di Khan Yunis di selatan Genting Gaza.
Saksi memberitahu Anadolu bahawa medik memindahkan mayat dan mereka yang cedera ke Hospital Nasser di Khan Yunis.
Pengeboman itu menyebabkan kemusnahan besar-besaran kepada rumah dan harta benda sekitarnya.
Angka kematian akibat serangan Israel di Genting Gaza telah meningkat kepada 15,207 sejak tercetusnya konflik pada 7 Oktober, kata Kementerian Kesihatan Gaza pada Sabtu.
Tentera Israel meneruskan pengeboman di Genting Gaza awal Jumaat selepas mengisytiharkan penamatan jeda kemanusiaan selama seminggu.
Sekurang-kurangnya 193 rakyat Palestin terbunuh dan 652 cedera sejak Jumaat dalam serangan udara Israel, menurut kementerian itu.
Israel melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti ke atas Genting Gaza berikutan serangan rentas sempadan oleh kumpulan pejuang Palestin, Hamas, pada 7 Okt.
Angka kematian rasmi Israel berjumlah 1,200 orang. – Anadolu