CYBERJAYA: Seramai 31 anggota serta pegawai polis Kuala Lumpur dilucutkan jawatan bagi tempoh Januari hingga November lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding tempoh sama tahun 2022.
“Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Polis Kuala Lumpur bagi tempoh Januari hingga November menunjukkan sebanyak 31 orang pegawai dan anggota di Kontinjen Kuala Lumpur.
“Seramai 31 anggota itu telah di ambil tindakan hukuman Buang Kerja berbanding pada tempoh yang sama tahun 2022 iaitu sebanyak 40 orang,” katanya memetik Kosmo pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.
Tambah beliau, pasukan itu masih berpegang teguh pada prinsip disiplin dan integriti dalam menjaga nama baik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Dalam menjalankan tugas, kita sentiasa mengharungi cabaran dan detik-detik yang menguji kesabaran dan emosi kita. Ingatlah kemarahan dan kegagalan mengawal emosi akan mengundang seribu penyesalan.
“Saya berharap, kita sentiasa menjaga imej PDRM dengan meletakkan integriti diri dan pasukan pada tahap utama, nilai dan etika yang tinggi, jujur dan amanah dalam menjalankan tugas tanpa menjejaskan Imej pasukan,” ujarnya.