HomeBeritaAmaran hujan lebat tahap bahaya di Pantai Timur

Amaran hujan lebat tahap bahaya di Pantai Timur

CYBERJAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya, dijangka berlaku di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia.

MetMalaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan pada jam 4.30 petang Sabtu memaklumkan, Kelantan, Terengganu dan dua daerah di Pahang iaitu Jerantut dan Kuantan dijangka mengalami hujan sangat lebat sehingga Isnin ini.

Sementara itu, hujan berterusan pada tahap buruk dijangka berlaku di beberapa daerah di Pahang termasuk di Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Maran, Pekan dan Rompin sehingga Isnin.

Infografik MetMalaysia yang dikeluarkan pada jam 4.30 petang Sabtu.

Pada masa sama, hujan berterusan pada tahap waspada  dijangka melanda beberapa daerah di Pahang iaitu Raub, Bentong, Temerloh dan Bera, manakala Johor pula membabitkan Mersing dan Kota Tinggi sehingga Ahad.

Turut dijangka mengalami hujan berterusan pada tahap waspada bermula Ahad hingga Isnin adalah Perlis dan beberapa daerah di Kedah termasuk Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling.

Malah, dua daerah di Perak iaitu Hulu Perak dan Kuala Kangsar turut tidak terkecuali.

Author

Pilihan Editor