“DATUK nenek, cucu tumpang buang air kecil.”
Pasti setiap pembaca pernah mendengar ayat seperti di atas sewaktu masuk ke dalam hutan.
Pada zaman dahulu, sering kali terdengar ayat meminta izin sama ada ingin lalu ke kawasan tersebut atau membuang ‘hajat’ kerana kita diajar menggunakan ayat tersebut.
Bagaimanapun, ayat tersebut sebenarnya dilarang di dalam Islam kerana ia seolah-olah cuba meminta perlindungan daripada jin dan bukannya dari Allah SWT.
Susulan itu, seorang lelaki yang dikenali sebagai Mejar Fitri yang arif berkaitan hal hutan terpanggil untuk memberikan cara kepada sesiapa yang berada di dalam hutan ingin buang air kecil.
Mejar Fitri menerusi TikTok @tuan_hutan berkata, amalan meminta izin kepada ‘datuk nenek’ adalah mitos semata-mata.
“Mana ada atok nenek aku dalam hutan ni, atok nenek aku kat kubur. Cara buang air kecil dalam hutan, benda mudah tapi ramai yang salah,” katanya.
@tuan_hutan Part 2 : Ini adalah satu disiplin untuk membuang air kecil dan besar didalam hutan. Semoga bermanfaat #mejarfitri #tuanhutan #alamilahalam #ilmuhutan #hikingtiktok #tenteradarat #sniper #picnictiktok #kakikencing #berkelah
Menurutnya, cara yang betul adalah dengan membuang air kecil pada batu-batu yang ada di dalam hutan berdekatan dengan sungai.
Namun, sekiranya berada di tengah-tengah hutan yang tiada sungai, buat lubang kecil pada tanah untuk melepaskan ‘hajat’ tersebut dan menutupnya semula setelah selesai.
“Kencing di batu-batu, jangan terus di air. Kalau di tengah-tengah hutan. Buatlah lubang sikit untuk kencing lepas itu kambus balik.
“Jangan kencing dekat lubang-lubang, terutamanya lubang yang ada binatang dan seterusnya kalau nampak laluan semut, janganlah kencing, aniaya nanti,” kongsinya.
Malah, Mejar Fitri turut melarang membuang air di dalam sungai kerana dikhuatiri akan dijangkiti kuman di bahagian pundi kencing.
“Jangan kencing dalam air. Elok je berendam lepastu kencing. Kenapa? Sebab air kencing anda tu nanti ada bakteria-bakteria boleh masuk dekat lubang kencing,” jelasnya.