HomeGlobalAudio bocor dedahkan helikopter tentera Israel tembak ke arah tebusan Israel pada...

Audio bocor dedahkan helikopter tentera Israel tembak ke arah tebusan Israel pada 7 Okt

 

SEBUAH helikopter tentera Israel melepaskan tembakan ke arah tebusan Israel yang ditangkap oleh Hamas pada 7 Oktober dalam perjalanan mereka ke Gaza, menurut video yang bocor, yang mendedahkan kebimbangan mereka akan terbunuh dalam serangan Israel dan bukannya oleh Hamas.

Audio yang bocor, sebahagian daripadanya diterbitkan di laman berita Israel Ynet, menangkap pertemuan pada Selasa antara bekas tebusan Israel, saudara-mara mereka yang masih ditahan, dan Kabinet perang Israel.

Seorang tebusan wanita yang dibebaskan kedengaran dalam rakaman itu berkata: “Perasaan yang kami ada di sana ialah tiada siapa yang melakukan apa-apa untuk kami. Hakikatnya ialah saya berada di tempat persembunyian yang dibedil, dan kami terpaksa diseludup keluar, dan kami cedera. Itu selain helikopter yang menembak kami dalam perjalanan ke Gaza.”

Dia menambah: “Hakikat bahawa kami dibedil, hakikat bahawa tiada siapa yang tahu apa-apa tentang di mana kami berada… Anda mendakwa bahawa terdapat risikan. Tetapi hakikatnya ialah kami dibedil. Suami saya telah dipisahkan daripada kami tiga hari sebelum kami kembali ke Israel dan dibawa ke terowong (Hamas).

Dalam butiran pertemuan itu, tebusan yang dibebaskan oleh Hamas dan saudara-mara mereka yang bertemu dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap perdana menteri akibat serangan udara Israel ke atas Gaza.

Seorang lagi tahanan, yang dibebaskan sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran tebusan antara Israel dan Hamas, berkata: “Saya mengalami penawanan dan saya memahami kesusahannya. Setiap hari dalam kurungan adalah amat mencabar.

“Kami berada di dalam terowong, takut bahawa ia bukan Hamas, tetapi Israel, yang akan membunuh kami, dan kemudian mereka akan mengatakan Hamas membunuh anda. Jadi, saya sangat menggesa agar pertukaran tahanan bermula secepat mungkin dan semua orang perlu kembali rumah. Seharusnya tiada hierarki. Semua orang adalah sama penting.”

Israel meneruskan serangan ketenteraannya di Genting Gaza pada 1 Disember selepas jeda kemanusiaan selama seminggu dengan kumpulan pejuang Palestin Hamas berakhir.

Sekurang-kurangnya 17,177 rakyat Palestin telah terbunuh dan lebih 46,000 lagi cedera dalam serangan udara dan darat Israel yang tidak henti-henti ke atas enklaf itu sejak 7 Oktober berikutan serangan rentas sempadan oleh Hamas.

Angka kematian Israel dalam serangan Hamas berjumlah 1,200, menurut angka rasmi. – Anadolu

Author

Pilihan Editor