KUALA LUMPUR: Sebanyak 247 premis bilik sewa ‘sarang burung’ dikesan menerusi operasi Pelaksanaan Pemeriksaan Khas Penghapusan Bahaya Kebakaran oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bermula 26 Oktober hingga semalam.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, operasi itu dijalankan di seluruh negara bagi mengelakkan tragedi tidak diingini berlaku.
“Kita wajar mengambil iktibar daripada kejadian menyayat hati membabitkan kebakaran yang meragut nyawa 21 murid Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat, di sini pada 2017.
“Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengambil inisiatif menerajui operasi ini dan kita harap mana-mana pihak yang ingin mengubah suai bangunan, wajib mendapatkan kebenaran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau sebuah premis yang dijadikan rumah sewa ‘sarang burung’ di sekitar Bandar Baru Ampang, di sini hari ini.
Katanya, JBPM mengeluarkan 40 notis atas kesalahan menggunakan bahan berbahaya kepada nyawa atau mengganggu tugas, pengubahan bangunan yang menyukarkan pelepasan diri (36) dan kesesakan tempat hiburan atau perhimpunan awam yang membataskan penghuni menyelamatkan diri (10).
“Hasil pemeriksaan (hari ini) mendapati dua premis di sini diberikan notis dan diambil tindakan serta-merta untuk menghentikan operasi dan meruntuhkan semua binaan yang tidak mematuhi undang-undang dalam bangunan,” katanya. – Harian Metro