SEORANG kanak-kanak perempuan Thailand berusia dua tahun terselamat daripada kematian tragis selepas peluru sesat misteri menembusi rumahnya di wilayah Samut Prakarn dekat Bangkok pada 23 Disember.
Seorang lelaki, Chaianan, 39, menghubungi pegawai di Balai Polis Mueang Samut Prakarn selepas tembakan sesat mengenai bumbung rumahnya pada jam 3 pagi pada 23 Disember. Chaianan berkata, dia mendengar objek mengenai bumbung di atas bilik tidur semasa dia sedang tidur bersama isteri dan anak perempuannya.
Chaianan berkata, pancaran cahaya melalui lubang di bumbung membuatkan dia dan isteri mula mencari objek itu. Mereka menemui sebutir peluru di bawah katil. Ia menembusi bumbungnya dan mengenai kepala katil berhampiran tempat anak perempuannya tidur. Penemuan itu mengejutkan dia dan isterinya, dan mereka tidak dapat tidur sepanjang malam.
Chaianan berkata, dia tidak dapat menentukan arah peluru itu tetapi percaya ia datang daripada sekumpulan belia dalam masyarakat di situ. Katanya, mereka mungkin berkumpul pada waktu malam untuk mengusik.
Chaianan menambah bahawa peluru sesat mungkin datang dari pesta akhir tahun, yang biasanya melibatkan tembakan ke langit. Beliau menggesa polis dan jabatan berkaitan supaya mengambil perhatian terhadap isu itu dan mengambil langkah pencegahan sebelum sebarang kemalangan jiwa berlaku.
Kejadian serupa dilaporkan pada Julai tahun ini apabila peluru sesat menembusi tingkap sebuah rumah di wilayah tengah Prachin Buri dan nyaris terkena seorang budak perempuan di dalam rumah itu. Budak perempuan itu sedang berlari-lari dan bermain ketika kejadian itu berlaku, tetapi dia bernasib baik tidak terkena peluru sesat itu.
Pada bulan November, seorang lelaki terkorban akibat terkena peluru sesat ketika dia menunggang motosikal di Jalan Bang Phli-Tam Lu di wilayah Samut Prakarn dekat Bangkok. Polis dapat mengenal pasti dan menahan seorang lelaki bersenjata yang mengaku tembakannya tersasar dari sasaran, iaitu pemandu lori pesaingnya. – Thaiger