SERDANG: “Saya buka pintu, lihat hadapan rumah sudah jadi gaung, kami sekeluarga terpaksa lari selamatkan diri melalui pintu belakang,” kata Abd Rahim Md Ali, 72, salah seorang pemilik rumah yang terbabit kejadian tanah runtuh di Taman Wawasan, Puchong di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, sebanyak sembilan rumah terjejas dan empat kenderaan terjunam serta tertimbus dalam tanah runtuh.
Pesara swasta itu berkata, ketika kejadian dia bersama tujuh ahli keluarga terdiri daripada isteri, seorang anak dan empat cucu berada di rumah yang dibelinya sejak lebih 23 tahun lalu.
Menurutnya, dia sedang bersiap untuk menunaikan solat Maghrib sebelum terdengar bunyi pokok patah disusuli dentuman kuat.
“Saya menjenguk melalui tingkap bilik di tingkat atas kediaman dan nampak pokok tumbang lalu saya segera turun. Isteri beritahu tanah runtuh dan saya terkejut kerana sangka hanya pokok tumbang.
“Lebih mengejutkan apabila saya buka pintu, saya lihat jalan di hadapan rumah sudah runtuh dan Honda City yang di parkir tepi jalan turut terjunam dalam gaung,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Bercerita lanjut, Abd Rahim berkata, dia turut mendengar jeritan beberapa jiran bersebelahan sebelum mereka sekeluarga keluar menyelamatkan diri.
Katanya, beberapa minit kemudian pasukan bomba dan polis tiba di lokasi sebelum mereka diarahkan mengosongkan rumah buat sementara kerana bimbang berlaku runtuhan susulan.
Dia berkata, keluarganya kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).
“Saya tiada rumah lain nak pergi, inilah satu-satunya rumah saya dan saya harap pihak berkaitan dapat baik pulih runtuhan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Harian Metro mendapati kerja penyelenggaraan dan baik pulih di kawasan terjejas runtuhan sedang giat dijalankan.
Semalam, Harian Metro melaporkan seramai 29 penghuni di sembilan rumah di Taman Wawasan, diarah berpindah sebagai langkah keselamatan kerana bimbang berlaku lagi pergerakan tanah.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan dilaporkan berkata, polis menerima laporan kejadian jam 7.30 malam susulan hujan lebat pada 5.45 petang sehingga 7.30 malam menyebabkan berlaku pergerakan tanah.
Beliau berkata, kejadian berkenaan turut menyebabkan empat kenderaan tertimbus namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini. – Harian Metro