HomeBeritaMahkamah & JenayahBunuh: Tiga beradik ditahan kes, empat masih diburu

Bunuh: Tiga beradik ditahan kes, empat masih diburu

 

PETALING JAYA: Tiga beradik direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki warga tempatan yang ditemukan ditanam di belukar di Sungai Choh, Rawang di sini malam tadi.

Kejadian itu terbongkar susulan aduan diterima pihak polis daripada seorang wanita berusia 27 tahun yang berjiran dengan keluarga suspek yang juga keluarga iparnya pada pukul 11.25 malam kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pengadu mendakwa terdengar bunyi pergaduhan di rumah jiran pada pukul 11 pagi.

Menurut beliau, pengadu kemudian terdengar perbualan antara suaminya dengan abang ipar pengadu yang meminta tolong untuk menanam satu mayat pada pukul 5 petang pada  hari sama.

“Hasil siasatan awal menemukan mayat seorang lelaki tanpa pengenalan diri yang ditanam dalam lubang di satu kawasan belukar.

“Susulan itu, kita turut menahan tiga individu termasuk seorang wanita berusia 29 hingga 33 tahun. Turut ditahan suami, abang ipar serta kakak ipar kepada pengadu.

“Kita juga sedang memburu empat lagi suspek termasuk teman wanita kepada mangsa yang  dipercayai terlibat dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tidak kenal mangsa

Menurut Noor Ariffin, siasatan lanjut mendapati ketiga-tiga suspek tidak mengenali mangsa dan hanya kenalan rapat kepada salah seorang suspek lain yang diburu.

Jelasnya, ketiga-tiga suspek hanya mengetahui mangsa mempunyai masalah dengan teman wanitanya.

“Si mati (mangsa) dikatakan datang bersama tiga suspek yang masih bebas ke rumah abang ipar pengadu dan di situ, dia dipukul dengan kayu, botol kaca dan tong besi sehingga mati.

“Ketika kejadian teman wanita mangsa tidak berada di situ. Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

“Kesemua suspek direman tujuh hari dan siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini untuk tampil membantu siasatan.

Maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Puteri Noor Asiah Mohd. Sharif  di talian  012-6718024 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262242.- Utusan

Author

Pilihan Editor