CYBERJAYA: Cadangan DAP berhubung pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah semata-mata bagi memenuhi agenda parti itu, dakwa Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Timbalan Presiden PAS itu berkata, DAP konsisten memperjuangkan agar pilihan raya PBT dilaksanakan bagi menguasai bandar-bandar besar yang menjadi pusat ekonomi rakyat.
“Kita perlu tahu, jika pilihanraya PBT diadakan, ia membuka ruang kepada berlakunya polarisasi kaum lebih besar dan ketara antara penduduk bandar dan luar bandar.
“Ia bukan hanya melibatkan penguasaan terhadap hasil-hasil ekonomi sesebuah bandar yang tidak seimbang, malahan juga kuasa politik Melayu-Islam akan terhakis,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Khamis.
Terdahulu, Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai mencadangkan kepada kerajaan supaya memulakan pilihan raya PBT di bandar raya itu.
Ahli Parlimen Cheras itu berkata, pengenalan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur bertujuan untuk kelestarian dan memberi pilihan kepada penduduknya memilih ahli majlis tempatan.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim menjelaskan bahawa, keputusan kerajaan yang memansuhkan pilihan raya PBT seperti termaktub dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 sejak 50 tahun lalu adalah tepat.
Tambahnya, ia antara lain bertujuan menghindari penguasaaan kerajaan tempatan bagi satu-satu kumpulan etnik, untuk menutup kemungkinan berlakunya ketegangan dan ketidakharmonian kaum dalam masyarakat.
“Saya melahirkan kebimbangan dengan kenyataan YB Menteri Wilayah (Dr Zaliha Mustafa) yang membuka laluan perbincangan untuk melaksanakan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur.
“Sepatutnya perkara ini tidak perlu diberi perhatian oleh beliau dan agenda kesejahteraan rakyat bandar patut menjadi fokus utama,” katanya.
Menurut Tuan Ibrahim, PAS tidak boleh bertolak ansur dengan desakan mengadakan pilihan raya PBT ini.
“Kerana bimbang bila kita terlalu baik (bertolak ansur), lama-lama kita ditolak beransur-ansur,” ujarnya lagi.