PELAKON, Fatiya Latiff baru-baru ini menyatakan hasratnya untuk menuju ke Gaza tahun depan.
Kenyataan itu dibuat Fatiya atau Nur Fathia Abdul Latiff menerusi satu hantaran di Instagram sebagai tanda solidariti terhadap Palestin.
“Bakal ke Gaza tahun depan. Doakan saya untuk kematian syahid, Amin,” ungkapnya dalam hantaran berkenaan.
Perkongsian berkenaan nyata meraih pelbagai reaksi daripada netizen apabila ada yang mempersoalkan keputusan heroin drama Ariana Rose itu.
Namun, ada juga sebilangan pihak yang menyokong serta menitipkan doa buat Fatiya.
“Semoga semuanya dipermudahkan untuk Fatiya,” tulis netizen.
Bagaimanapun, dia tidak berkongsi secara lanjut mengenai perancangan untuk terbang ke Gaza.