KUALA LUMPUR: Penghantaran kira-kira 40 tan bantuan kemanusiaan ke Gaza fasa satu dan dua sebelum ini sudah berjaya diedar dan disampaikan kepada penerima sasarannya iaitu rakyat Palestin di wilayah perang itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, fasa ketiga bantuan kira-kira 60 tan, dengan kapasiti tiga kali ganda seperti diumumkan sebelum ini akan menyusul dan mula diterbangkan ke Mesir pada 17 Disember ini.
“Dijangka (penghantaran misi bantuan kemanusiaan) fasa ketiga pada 17 Disember ini. Penghantaran kali ini yang ketiga iaitu membabitkan 60 tan bantuan.
“Bantuan sebelum ini sudah pun dihantar dan telah sampai (masuk ke Gaza). Kita sudah mendapat laporan penghantaran sudah sampai ke sasarannya seperti mana dirancangkan,” katanya ditemui media di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim solat Jumaat di masjid berkenaan.
Zambry juga berharap Rakyat Malaysia terus mendoakan kejayaan misi penghantaran bantuan kemanusiaan ketiga oleh Malaysia untuk rakyat Palestin.
Malaysia melalui Ops Ihsan membuat penghantaran bantuan ke Gaza dengan penghantaran pertama membabitkan 20 tan barangan keperluan perubatan, barangan bayi dan makanan pada 4 November lalu.
Ia diikuti penghantaran kedua bantuan kemanusiaan membabitkan pelbagai barangan keperluan seberat 20 tan menerusi Ops Ihsan dan berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Al-Arish, Mesir menerusi penerbangan pesawat kargo khas pada 10 November lalu.
Hari ini, Ketua Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Martin Griffiths dilaporkan berkata, pihaknya melihat ada tanda positif ke arah pembukaan lintasan Kerem Shalom dari Israel ke Gaza tidak lama lagi dalam usaha membawa masuk bantuan.
Pusat pemeriksaan Kerem Shalom antara Israel dan Gaza bertanggungjawab untuk kemasukan 60 peratus barangan ke wilayah yang dikepung sebelum bermulanya perang antara Israel dan Palestin.
Pada masa ini hanya lintasan sempadan Rafah dengan Mesir dibuka. – Berita Harian