HomeSukan'Hans Isaac tak layak pegang jawatan itu', Dr Akmal Saleh ulas isu...

‘Hans Isaac tak layak pegang jawatan itu’, Dr Akmal Saleh ulas isu padang SNBJ

CYBERJAYA: Isu keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang kurang memuaskan terus mendapat kritikan ramai pihak, hanya beberapa jam sebelum perlawanan akhir Piala Malaysia berlangsung pada Jumaat malam.

Antara yang tampil memberi respons mengenai perkara tersebut adalah Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Dr Muhamad Akmal menyifatkan bahawa Datuk Hans Isaac tidak layak menggalas jawatan Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).

Pada masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu menyindir aktor terkenal itu supaya mendengar nasihat pihak yang berpengalaman.

“Bila dapat sesuatu tanggungjawab yang di luar bidangnya, yang penting kena mendengar daripada orang-orang yang berpengalaman.

“Dengar nasihat dari pekerja bawahan sampailah pegawai atasan sebelum buat keputusan.

“Bukan dapat jawatan, lepas tu degil rasa diri hebat dengan jawatan yang ada.

Enough is enough lah (cukup-cukup lah). Hans Isaac, anda tak layak dapat jawatan itu. Ini bukan filem yang boleh berlakon hero,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Tangkap layar hantaran Dr Muhamad Akmal di laman Facebook.

Terdahulu, PSM memohon maaf kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selaku penganjur Piala Malaysia 2023, berikutan keadaan padang SNBJ yang kurang memuaskan menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Terengganu FC pada Jumaat.

PSM memaklumkan, permohonan maaf itu juga ditujukan kepada JDT dan Terengganu FC serta penyokong kedua-dua pasukan berkenaan.

“PSM tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membaiki dan mengembalikan padang ke tahap optimum selepas Konsert Coldplay yang telah berlangsung pada 22 November lepas,” menurut kenyataan itu.

Isnin lepas, permukaan padang SNBJ sekali lagi tular dan menjadi perhatian selepas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuat naik gambar keadaan gelanggang rasmi skuad Harimau Malaya itu yang kelihatan sedikit terjejas menerusi laman media sosial milik baginda.

Ia merupakan kali kedua dalam tempoh kira-kira dua minggu, Tunku Ismail memuat naik gambar keadaan padang SNBJ, yang pertama selepas dua hari konsert kumpulan Coldplay berlangsung di stadium berkenaan.

Sebelum ini, Tunku Ismail mengurniakan rumput jenis Zeon Zoysia untuk digunakan di SNBJ yang mula ditanam tahun ini.

Author

Pilihan Editor