PELAKON, Mira Filzah baru-baru ini meluahkan rasa bengang dengan tindakan individu yang tergamak menyunting fotonya menggunakan kecerdasan buatan (AI) sehingga mendatangkan aib.
Mira atau Nur Amirah Filzah Badioezaman, 30, berkata, dia tidak teragak-agak untuk mengheret individu terbabit ke muka pengadilan sekiranya masih memuat naik gambar tidak senonoh terbabit.
“To the fake account owner, I might be quiet and don’t speak too much about this, but jangan sampai I buat report/aduan jenayah siber Malaysia dekat SKMM. You better stop,” tegasnya.
Mira berkongsi perkara demikian menerusi TikTok miliknya.
Malah, pelakon drama Cinta Si Wedding Planner itu memaklumkan dia sudah beberapa kali berusaha melaporkan akaun terbabit namun TikTok menjelaskan tiada sebarang pelanggaran berlaku.
“I’ve received DM regarding the fake stu*** account yang guna muka Mira untuk edit benda yang tak senonoh.
“Banyak DM bagitau and yes Mira dah tahu lama. Mira dah buat report banyak kali, banyak.
“Tapi TikTok rejected the reports kata no violations,” tulisnya.
Sebelum ini kecoh apabila foto-foto selebriti tempatan disunting secara melampau sehingga mengaibkan terutamanya dalam kalangan wanita.
Selain Mira, antara selebriti yang turut menjadi mangsa adalah Uqasha Senrose, Puteri Aisyah, Sophia Albarakbah dan Iman Troye.