HomeBeritaGabungan NGO anti Israel terima saman daripada McDonald’s isu boikot produk

Gabungan NGO anti Israel terima saman daripada McDonald’s isu boikot produk

PETALING JAYA: BDS Malaysia yang juga sebuah gabungan badan bukan kerajaan (NGO) memaklumkan bahawa McDonald’s Malaysia telah memfailkan saman terhadap pertubuhan itu.

BDS Malaysia yang mempromosikan kempen memboikot perkara atau produk yang dikaitkan dengan Israel berkata, writ saman daripada McDonald’s telah diterima pihaknya baru baru ini.

Katanya, berdasarkan writ saman itu, syarikat francais makanan segera itu mendakwa BDS Malaysia telah memfitnah syarikat terbabit.

“Mereka mendakwa perniagaan terjejas sejak kebelakangan ini dan menyalahkan kami. Kami menafikan secara mutlak. Oleh itu keputusan kami ialah biar mahkamah putuskan perkara ini,” kata BDS Malaysia di aplikasi X semalam.

Mengulas lanjut, BDS Malaysia berkata, pihaknya telah melantik firma guaman, Raja Riza and Associates dan selepas berunding dengan peguamnya gabungan tersebut akan mengeluarkan kenyataan yang lebih terperinci.

“BDS Malaysia, entiti bebas terdiri daripada badan bukan kerajaan, kumpulan, dan individu yang mempromosikan kebebasan, keadilan, dan kesaksamaan terhadap Palestin menerusi boikot, lupus dan sekat,” ujarnya.

Sementara itu, McDonald’s Malaysia mengesahkan ia memfailkan saman sivil terhadap BDS Malaysia untuk melindungi hak dan kepentingannya.

McDonald’s Malaysia menegaskan ia tidak menyalurkan sebarang jualan, keuntungan, royalti, atau fi francais daripada operasi restoran untuk menyokong mana-mana perjuangan politik atau konflik.

“Walaupun kami memahami dan menghormati tindakan boikot adalah keputusan individu, kami percaya ia harus berdasarkan fakta yang benar dan bukan dakwaan palsu,” katanya. – Kosmo!

Author

Pilihan Editor