CYBERJAYA: Sekumpulan penunggang motosikal yang melakukan aksi berbahaya ala ‘Superman’ di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1) sedang dikesan pihak polis bagi membantu siasatan.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya mengesan satu video tular berdurasi 28 saat di media sosial.
Ujarnya, video tersebut memaparkan sekumpulan individu yang menunggang motosikal secara berbahaya dengan melakukan aksi ‘Superman’ sehingga terlibat dalam satu kemalangan jalan raya sesama sendiri.
“Semakan JSPT terhadap video dirakam oleh salah seorang penunggang motosikal yang terlibat, kejadian berlaku berdekatan susur Hentian Rehat dan Rawat Temerloh, LPT1.
“Pihak JSPT sudah mengarahkan JSPT Pahang untuk mengesan dan menjalankan siasatan terhadap penunggang motosikal yang terlibat,” katanya.
Tambah JSPT lagi, pihaknya menggesa kumpulan yang terlibat untuk segera tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan ekoran nombor plat motosikal sudah dikenalpasti.
Bowling padang ❌
Bowling Ysuku ✅ pic.twitter.com/gQQRM0q09o— Jalal Misai (@jllmisai) December 26, 2023
Terdahulu, tular di media sosial sebuah video memaparkan kemalangan yang terjadi antara sekumpulan penunggang motosikal dipercayai terdiri daripada lapan individu.
Kesemua penunggang motosikal membuat aksi ala ‘Superman’ sehingga salah seorang hilang kawalan dan terjatuh.
Kemalangan itu menyebabkan dua penunggang motosikal lain yang berada di belakang turut bergesel sesama sendiri kerana gagal untuk mengelak.