HomeBeritaIndividu bergelar Tun perlu disiasat - Dr Mahathir

Individu bergelar Tun perlu disiasat – Dr Mahathir

CYBERJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan persetujuan bahawa individu yang bergelar Tun perlu disiasat pihak berkuasa.

Dr Mahathir berkata, pihak berkuasa tidak perlu mendapatkan sebarang bukti dokumen mengenai salah laku individu bergelar Tun, sebaliknya syak wasangka terhadap mereka sudah memadai untuk melakukan siasatan.

Jelasnya lagi, sekiranya individu bergelar Tun tidak dapat menjelaskan sumber atau cara memperoleh wang, maka harta mereka harus disita.

“Tun bukan sahaja perlu disiasat. Mereka juga perlu direman sehingga mereka mendedahkan sumber wang mereka. Jika tidak, mesti kerana mereka bersembunyi,” katanya sinis menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu.

Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan terhadap Dr Mahathir.

Mohd Puad berkata, ia penting susulan siasatan ke atas tokoh konglomerat, Tun Daim Zainuddin selepas Menara Ilham miliknya di ibu negara disita.

Beliau menganggap bahawa tiada sebarang siasatan sepanjang tempoh 22 tahun dan 22 bulan Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri sebagai tidak munasabah.

“Nepotisme ke, kronisme atau salah guna kuasa dalam yang panjang itu? Anak-anak Tun M pun berniaga, Tun Daim kawan rapat. Siasatlah dulu, ada bukti dakwa,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir menegaskan bahawa jenayah rasuah mesti dibanteras tidak kira apa jua cara sekali pun.

Namun, jelas beliau, sekiranya Peguam Negara (AG) berpendapat sebarang tuduhan salah laku berpunca daripada politik, maka AG berhak untuk tidak meneruskan pendakwaan.

“Pasport hendaklah dikembalikan. Ini adalah hak AG. Mahkamah tidak boleh mempersoalkan keputusan AG.

“Malaysia benar-benar mematuhi kedaulatan undang-undang, malah pesalah pertama mesti menerima kuasa penuh kedaulatan undang-undang.

“Jika hukuman sebat adalah wajib, maka pesalah hendaklah disebat. Di Malaysia, undang-undang adalah tertinggi, kita semua mesti mematuhinya,” tambahnya.

Author

Pilihan Editor