HomeBeritaGobind, Noraini antara 5 bekas menteri buat 'comeback'

Gobind, Noraini antara 5 bekas menteri buat ‘comeback’

CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan seramai sembilan menteri dan timbalan menteri baharu dilantik bagi menerajui beberapa kementerian.

Menerusi rombakan Kabinet pada Selasa, beberapa bekas menteri dilihat melakukan kemunculan semula, yang antara lain termasuk Naib Presiden DAP, Gobind Singh Deo.

Gobind yang juga bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2018-2019, dilantik sebagai Menteri Digital, iaitu kementerian baharu yang diwujudkan daripada pecahan Kementerian Komunikasi dan Digital.

Selain itu, Pengarah Strategi Amanah, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang juga bekas Menteri Kesihatan ketika pentadbiran PH pada 2018-2019, kembali memegang jawatan sama.

Malah, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Ghani yang juga bekas Menteri Kewangan Kedua dalam Kabinet Kerajaan Barisan Nasional (BN) di antara 2016 hingga 2018, dilantik mengetuai portfolio baharu, Kementerian Perladangan dan Komoditi.

Sementara itu, Kementerian Sumber Manusia pula kini diterajui oleh bekas Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong.

Pada masa sama, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan  yang dilantik sebagai Senator turut menggalas tugas sebagai Menteri Kewangan II.

Bagi jawatan Timbalan Menteri pula, Datuk Seri Noraini Ahmad antara nama besar dalam UMNO dipilih menganggotai Jemaah Menteri.

Ketua Wanita UMNO yang juga bekas Menteri Pengajian Tinggi ketika pentadbiran  Perikatan Nasional (PN) itu dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Naib Pengerusi DAP, M Kulasegaran, yang juga bekas Menteri Sumber Manusia ketika pentadbiran PH, kembali semula dilantik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi).

Turut dilantik adalah Datuk Ramanan Ramakrishnan sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Wong Kah Woh sebagai Timbalan Menteri Pendidikan.

 

Author

Pilihan Editor