KUALA LUMPUR: Jangkitan varian terbaharu Covid-19 dilihat lebih membimbangkan kepada golongan rentan kerana boleh mengakibatkan rawatan di hospital, kematian dan situasi long Covid atau jangkitan berpanjangan.
Perunding Penyelidikan Universiti Malaya (UM), Profesor Emeritus Datuk Dr Lam Sai Kit berkata, walaupun varian SARS-CoV-2 dikesan menyebabkan simptom ringan, ia tetap berisiko kepada kumpulan warga emas, golongan komorbid dan penyakit kronik seperti kencing manis atau penyakit jantung.
Katanya, mereka yang sihat juga boleh berdepan situasi Long Covid dengan mengalami gejala berterusan dan berulang selepas beberapa lama dijangkiti Covid-19.
“Justeru, penting bagi negara terus memantau kemunculan varian SARS-CoV-2 yang baharu dan berkongsi maklumat dalam masa nyata dengan seluruh dunia.
“Sebarang perubahan ketara dalam evolusi genetik dan antigen SARS-CoV-2 akan menjejaskan keberkesanan vaksin semasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Pakar menjangkakan lonjakan kes Covid-19 yang berpunca daripada varian BA2.86 atau ‘Pirola’ akan berlaku dalam tempoh satu ke dua minggu, dengan potensi varian mutasi JN.1 turut menular dalam negara.
Situasi Covid-19 terbaharu ini dijangka berlaku disebabkan kehadiran pengembara dari luar negara, khususnya dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.
Saintis virologi Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPTT), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Muhammad Amir Yunus berkata, jangkaan lonjakan kes bagaimanapun tidak perlu menimbulkan panik, memandangkan varian BA2.86 dan JN.1 bukan berada dalam kategori Variant of Concern (VOC).
Mengikut data KKM, jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan meningkat daripada 6,796 kepada 12,757 pada Minggu Epidemiologi ke-49 (ME 49/2023), seiring trend global pada setiap hujung tahun dan majoriti kes mengalami gejala ringan serta tidak memerlukan rawatan hospital.
Kemasukan pesakit ke hospital dan penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) masing-masing meningkat 1.4 peratus bagi setiap 100,000 penduduk berbanding minggu sebelumnya (26 November 2023 hingga 2 Disember 2023).
Mengulas lanjut, Dr Sai Kit berkata, Kumpulan Penasihat Teknikal mengenai Komposisi Vaksin Covid-19 (TAG-CO-VAC) Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyarankan komposisi antigen vaksin Covid-19 semasa dikekalkan iaitu XBB.1.5 monovalen sebagai antigen vaksin Covid-19.
Katanya, vaksin monovalen itu menggantikan vaksin bivalen yang diperkenal pada 2022 dan menyasarkan terhadap subvarian BA.4 dan BA.5 Omicron serta virus SARS-CoV-2 yang asal.
“Vaksin Covid-19 yang dikemas kini itu direka bentuk untuk melindungi daripada XBB.1.5 dan harus melindungi daripada varian virus lebih terkini, termasuk EG.5 dan BA.2.86,” katanya. – Berita Harian