HomeBerita'Hati-hati bercuti di kawasan air terjun'

‘Hati-hati bercuti di kawasan air terjun’

CYBERJAYA: Orang ramai yang berhasrat berkunjung ke kawasan air terjun di Hulu Langat dinasihatkan untuk mengutamakan keselamatan diri khususnya daripada ancaman kepala air.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abdul Aziz berkata, musim cuti persekolahan yang bakal tiba tidak lama lagi pasti membuatkan sebilangan ibu bapa kini dalam perancangan bercuti di kawasan rekreasi.

“Kita memahami bulan ini adalah cuti persekolahan yang mendorong ibu bapa ingin membawa anak-anak bercuti ke pusat rekreasi berdekatan.

“Saya akan meminta Majlis Perbandaran Kajang untuk meletakkan notis langkah keselamatan namun apa yang penting individu juga perlu berhati-hati ketika menjalankan aktiviti riadah seperti mengambil kira faktor cuaca ketika menjalankan aktiviti bersama keluarga,” kata memetik Selangorkini pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa pusat rekreasi Air Terjun Sungai Tekala tutup sehingga Mac depan manakala Air Terjun Sungai Gabai tidak lagi dibuka akibat banjir buruk dua tahun lalu.

Justeru, beliau menasihatkan pengusaha tapak perkelahan persendirian dan pihak berkaitan sentiasa mengawasi situasi di kawasan perkelahan terbabit terutama ketika cuaca buruk.

“Pengusaha dan pengunjung perlu ada sikap berhati-hati ataupun peka dengan keadaan cuaca, keadaan aliran air sungai atau air terjun.

“Jika nampak keadaan cuaca berubah seperti gelap hendak hujan, maka segeralah keluar dari kawasan itu,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor