CYBERJAYA: Jambatan Pulau Pinang akan ditutup sementara bermula jam 12.01 tengah malam hingga jam 10 pagi, Ahad ini.
Perkara itu susulan memberi laluan bagi acara Penang Bridge International Marathon 2023.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan, jambatan berkenaan akan dibuka semula pada jam 10 pagi hari Ahad selepas acara selesai.
Justeru maklum PLUS, pengguna lebuh raya dinasihatkan untuk menggunakan Jambatan Sultan Abdul Halim Muad’zam Shah (Jambatan Kedua Pulau Pinang) sebagai jalan alternatif dan mematuhi semua papan tanda serta arahan diberikan.
“Pengguna lebuh raya boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Aplikasi X @PLUSTrafik, Aplikasi PLUS, Chatbot PUTRI atau papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih,” kata PLUS dalam satu kenyataan.