CYBERJAYA: Polis sedang melakukan siasatan berhubung video tular memaparkan pertengkaran antara jiran di sebuah apartmen di Taman Universiti, dekat Skudai, Johor pada 8 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner M. S Balveer Singh berkata, kejadian pada jam 12.30 malam itu berpunca daripada perselisihan faham, akibat bunyi bising sehingga mengganggu ketenteraman penghuni lain.
“Polis mengesahkan telah menerima laporan mengenai kejadian pada jam 3.43 petang semalam (Isnin),” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Kes disiasat di bawah Seksyen 13(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Jeffri Joni di talian 011-65141322.
Sebelum ini, tular satu video klip berdurasi satu minit 58 saat, memaparkan seorang lelaki menjerit ke arah seorang wanita, mendakwa jirannya itu mengganggu ketenteraman awam dengan bersembahyang pada waktu tengah malam ketika penghuni lain sedang berehat.
Pertengkaran berlarutan dengan kehadiran seorang lelaki lain yang dipercayai ahli keluarga wanita terbabit.