CYBERJAYA: Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan RM1 juta bagi menaik taraf jalan dengan teknologi garisan jalan yang menyala dalam gelap (glow in the dark).
Justeru, Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor akan melaksanakan penilaian sebelum menyatakan senarai jalan di Johor yang bakal menerima teknologi itu, lapor portal Amanz.
Difahamkan, penggunaan teknologi jalan glow in the dark ini lebih murah berbanding meletakkan pemantau cahaya permukaan jalan.
Ia dilihat sebagai penyelesaian kepada isu jalan gelap yang tidak berlampu di waktu malam.
Sebelum ini, JKR telah memulakan program rintis garisan jalan yang menyala dalam gelap di Hulu Langat.
Selain Malaysia, teknologi ini juga telah diuji di Australia dan Belanda dengan penggunaan cat yang menyerap tenaga cahaya daripada matahari di waktu siang.
Manakala pada waktu malam, tenaga yang disimpan akan menyebabkan ia menyala kehijauan sehingga lapan jam.