CYBERJAYA: Pereka fesyen popular, Datuk Jovian Mandagie, 37, mendedahkan telah bercerai dengan isterinya, Nina Sabrina Ismail Sabri, 36, sejak Ogos lalu.
Maklumnya menerusi Instagram, dia dan Nina yang juga anak kepada bekas Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu berpisah secara baik
“Pada Ogos lalu, kami bersetuju menamatkan ikatan perkahwinan yang berusia 10 tahun kerana kami percaya itu adalah jalan yang terbaik.
“Kami dapati sebagai sahabat dan ibu bapa Jeanelle, kami berkongsi rasa cinta berbeza yang harus dihargai.
“Memandangkan kebahagian Jeanelle adalah kebahagian kami, jadi kami sudah lakukan yang baik. Alhamdulillah.
“Rasa kasih sayang kami kepada ibu bapa dan keluarga tak pernah berubah. Kami percaya Allah adalah sebaik-baik perancang,” tulisnya.
Pada masa sama, Jovian memberitahu apa yang dipaparkan dalam media sosial sejak empat bulan lalu adalah perkara yang nyata.
“Sementara berita ini tidak dijangka, percayalah kami dalam keadaan yang baik. Apa juga yang anda saksikan dalam media sosial sejak empat bulan lalu adalah benda yang nyata.
“Kami tidak mungkin akan membenci antara satu sama lain memandangkan kami pernah berkongsi hodup selama hampir sedekad.
“Terima kasih untuk doa dan sokongan anda untuk babak baharu kehidupan kami ini,” kongsi Jovian.
Bagaimanapun, lebih menarik perhatian di ruangan komen apabila bekas isterinya itu memberitahu bahawa Jovian masih boleh menggunakan akaun Netflix miliknya.
“Don’t worry you can still use my netflix acc. See you friday!” komen Nina.