PETALING JAYA: “Ibu kepada Zayn Rayyan biasanya tidak membenarkan anaknya bermain di luar dan hanya bermain di sekitar balkoni rumah.
“Namun, pada hari kejadian, ayahnya bertanya dalam kumpulan WhatsApp komuniti jika kami ada melihat anaknya. Ketika itu baru saya tahu Zayn Rayyan hilang,” kata jiran di Blok R, Apartmen Idaman, Abd Rashid Tatawi, 39.
Abd Rashid berkata, ibu bapa Zayn baru sahaja menetap tiga tahun di apartmen itu dan ketika kejadian dia sedang berniaga di Damansara serta hanya menyedari kejadian itu melalui perkongsian kumpulan komuniti.
Menurutnya, Zayn seorang pendiam dan memang tidak bercakap dengan orang.
“Kadang-kadang dia akan bermain sebentar di hadapan rumah kami selepas balik dari sekolah dengan pemerhatian ibunya.
“Namun apabila ibunya menyuruhnya masuk ke dalam rumah, dia akan menuruti arahan ibunya dan dia kanak-kanak yang tidak banyak ragam,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Blok R Apartmen Indah, Damansara Damai di sini, semalam.
Abd Rashid yang berniaga sendiri berkata, selepas mengetahui Zayn Rayyan dilaporkan hilang, penduduk Apartmen Idaman pada Selasa lalu, dia bersama penduduk setempat membantu dalam usaha mencari kanak-kanak itu pada hari pertama.
“Pada malam Zayn ditemui (malam Rabu), saya baru balik daripada berniaga dan dimaklumkan mayat Zayn ditemui.
“Bapa Zayn pengsan sebaik mengetahui keadaan Zayn (meninggal dunia), sayalah orang yang menyambutnya ketika dia jatuh (pengsan), saya memahami kesedihannya kerana saya sendiri seorang bapa yang mempunyai anak berusia setahun hingga 18 tahun,” katanya tadi.
Katanya , belukar di mana Zayn ditemui jarang dilalui oleh penduduk di sekitar kawasan itu.
“Selepas berlakunya kejadian ini, saya lebih berhati-hati untuk membiarkan anak bermain di kawasan apartmen termasuk di balkoni.
“Tiga anak saya yang masih kecil dibawa sekali ke tempat perniagaan kerana takut berlaku apa-apa,” katanya.
Seorang lagi jiran di apartmen itu, Shida Rajali, 35, berkata, dia tidak lagi membiarkan anak-anaknya berseorangan di rumah.
“Selalunya, saya akan meninggalkan dua anak saya berusia lima dan enam dan lima di rumah sementara saya menghantar anak sulung ke sekolah.
“Selepas berlakunya kejadian ini, saya mula membawa mereka bersama walaupun destinasinya hanya 10 minit dari rumah,” katanya.
Menurutnya, dia tidak pernah melihat kanak-kanak bermain di bahagian belukar itu.
“Dari tingkap rumah, saya boleh lihat bahagian belakang tapi tidak pernah ada budak yang bermain di situ.
“Saya berharap pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) Apartmen Indah memasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan perumahan ini untuk keselamatan penduduk.
“Saya dan suami juga bercadang untuk memasang CCTV di luar rumah kerana rumah kami terletak di tepi tangga, ramai orang akan gunakan tangga untuk turun naik, agak membimbangkan juga,” katanya. – Harian Metro