KLANG: Seorang lelaki warga asing berusian 53 tahun, direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes penemuan mayat wanita yang disimen di dalam kolah bilik air sebuah rumah di sini pada Ahad.
Majistret Amirul Asyraf Abd Rasid mengeluarkan perintah reman tujuh hari itu berkuat kuasa hari ini sehingga Isnin depan.
Terdahulu, suspek diiringi anggota polis tiba di Mahkamah Majistret di sini, pada jam 9.47 pagi, Selasa, lapor Sinar Harian.
Semalam, media melaporkan penemuan mayat wanita dipercayai warga asing yang disimen di kolah bilik air sebuah rumah.
Siasatan dijalankan polis selepas menerima laporan daripada pemilik rumah itu berkaitan terdapat mayat di kolah bilik air rumah sewa tersebut.
Mayat wanita itu ditemukan selepas anggota bomba bertindak memecahkan simen kolah berkenaan.
Polis setakat ini menahan seorang lelaki dan sedang mengesan dua lagi suspek bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan dilaporkan berkata, dua individu itu masing-masing dikenali sebagai Ranjit Singh dan Mandeep Singh yang dikenal pasti menyewa rumah tersebut dan dipercayai terlibat dalam kes berkenaan.