CYBERJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bakal mengeluarkan arahan bagi pelaksanaan program imunisasi dos penggalak vaksin Covid-19 dalam masa terdekat.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, inisiatif itu diambil susulan peningkatan kes baharu dan berulang endemik itu dilapor sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, KKM amat menggalakkan penduduk di negara ini segera mengambil imunisasi penggalak kerana kadar jangkitan ketika ini dianggap masih rendah.
“Insya-Allah, KKM akan keluar satu arahan tertentu mengenai dos penggalak dan ini perlu terutama kepada kumpulan rentan ada risiko komorbiditi.
“Pastinya kita belum dapat lagi arahan daripada Ketua Pengarah Kesihatan (Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan) tetapi langkah pencegahan sebegini amat baik,” jelasnya,” katanya memetik Utusan pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau turut memberi jaminan bahawa stok vaksin dos penggalak masih dalam simpanan KKM dan belum lagi mencapai tarikh luput penggunaan.
Pada masa sama, Dr. Dzulkefly berkata, KKM turut menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan saringan ketat di dua pintu masuk negara dengan Singapura.
Maklumnya, KKM tidak mengambil ringan dengan apa yang berlaku di negara-negara jiran berdasarkan pengalaman terjadi sebelum ini.
“Jika kita perhatikan ada keperluan, ia akan membawa pula kepada langkah intervensi dan mitigasi yang bersesuaian berbanding dengan memberikan suasana amaran.
“Semua tindakan akan kita pertimbang dan kita (Kementerian Kesihatan) ada pelan tindakan seandainya timbul keperluan secara kecemasan,” ujarnya.