HomeBeritaPolitikLangkah Dubai: MP BN perlu bayar RM100 juta jika lompat parti

Langkah Dubai: MP BN perlu bayar RM100 juta jika lompat parti

CYBERJAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan bahawa, gerakan terancang untuk menjatuhkan pentadbiran Kerajaan Perpaduan dikenali sebagai Langkah Dubai hanyalah ‘fatamorgana’ atau khayalan.

Beliau menegaskan, semua 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sudah menandatangani aku janji untuk membayar RM100 juta sekiranya bertindak melompat parti.

“Langkah Dubai? Ini hanya fatamorgana. Untuk 30 MP UMNO/BN, kami sudah tandatangan kena bayar RM100 juta seorang jika ingin melompat.

“Siapa MP ada wang sebanyak itu? Jika 30 keluar pun, kerajaan masih kekal dengan 122 sokongan,” katanya menerusi hantaran di laman X pada Ahad.

Sebelum ini, timbul desas-desus berlaku Langkah Dubai, yang didakwa digerakkan oleh pemimpin parti pembangkang termasuk wakil tertentu kerajaan, dengan matlamat sama iaitu menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu didedahkan Timbalan Ketua Pengarah (Komunkasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop.

Selain pemimpin Perikatan Nasional (PN), Langkah Dubai juga didakwa disertai tokoh politik veteran berpengaruh berpangkat Tun yang bersekongkol dengan pembangkang, termasuk dikatakan menggunakan ‘sumber asing’ untuk menggulingkan pentadbiran Anwar.

 

Author

Pilihan Editor