HomeBeritaViralLelaki 'kenakan' semula peniaga i-City

Lelaki ‘kenakan’ semula peniaga i-City

TAKTIK seorang peniaga warga asing untuk menghabiskan barangan jualan secara cepat dan salah tidak menjadi apabila dihidu rakyat tempatan baru-baru ini.

Menerusi video tular, peniaga tersebut pada mulannya menyerahkan belon berlampu kepada seorang kanak-kanak tanpa diminta dalam kejadian di i-City, Shah Alam, Selangor.

Difahamkan, peniaga itu berbuat demikian dengan harapan kanak-kanak tersebut akan menangis jika penjaganya tidak mahu membeli belon berkenaan.

Namun, dugaannya salah apabila seorang lelaki dipercayai bapa kanak-kanak tersebut, yang menyedari perbuatan berkenaan bertindak memberikannya pengajaran.

Lelaki itu sebaliknya hanya meminta kanak-kanak tersebut mengucapkan terima kasih kepada peniaga berkenaan tanpa memberi sebarang bayaran dan berlalu pergi.

Tindakan itu menyebabkan peniaga tersebut terkejut, sebelum mengambil semula belon daripada tangan kanak-kanak berkenaan.

Pada masa sama, lelaki itu sempat memberi amaran kepada peniaga tersebut supaya tidak melakukan perniagaan dengan cara menyalahi undang-undang.

Video itu turut memaparkan beberapa peniaga lain melakukan melakukan perkara sama ke atas pengunjung di taman tema tersebut.

Rakaman yang turut tular di laman X @MALAYSIAVIRALLL itu menyaksikan rata-rata netizen mempersoalkan kehadiran pihak berkuasa untuk memantau perkara berkenaan.

Tulis @farha_anna13: “Kat i-City tak ada penguatkuasa yang selalu buat pantauan ke? Kat Pavilion Bukit Bintang ni selalu je dorang berlari-lari anak sebab DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) selalu ronda. Kelam-kabut sembunyikan barang jualan mereka dalam kedai-kedai terdekat.”

Tambah @HafizFazrinnn: “Tak payah tunggu pihak berkuasalah. Kita buat je tindakan sendiri.”

@IrTomen secara kesal berkata: “Enforcement (penguatkuasaan) lemah.”

Setakat artikel ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan pihak berkuasa berhubung perkara tersebut.

Author

Pilihan Editor