HomeGlobalLebih 1.8 juta rakyat Palestin hilang tempat tinggal

Lebih 1.8 juta rakyat Palestin hilang tempat tinggal

AGENSI kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), OCHA berkata, jumlah penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Genting Gaza ketika ini meningkat kepada 1.8 juta orang.

Jumlah itu bersamaan kira-kira 80 peratus daripada penduduk di genting itu.

Menurut data OCHA, kira-kira 1.1 juta orang yang kehilangan tempat tinggal telah didaftarkan di 156 Agensi pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNRWA) di seluruh Gaza.

Sementara itu,  946,000 daripadanya atau kira-kira 86 peratus tinggal di 99 tempat perlindungan UNRWA di selatan Gaza.

“Seramai 191,000 lagi rakyat Palestin yang hilang tempat tinggal ditempatkan di 124 sekolah awam, hospital, dewan perkahwinan, pejabat dan pusat sosial,manakala selebihnya tinggal bersama keluarga tuan rumah,” kata OCHA seperti dilapor Middle East Monitor.

Setakat ini, tiada anggaran tepat mengenai bilangan individu yang kehilangan tempat tinggal di Gaza, berikutan ramai antara mereka yang tinggal bersama saudara-mara.

Selain itu, ada juga yang kembali ke kediaman masing-masing ketika gencatan senjata, namun nama mereka terus didaftarkan secara rasmi di pusat perlindungan UNRWA dan beberapa organisasi lain.

Rabu lalu, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus memberi amaran bahawa lebih ramai penduduk Gaza mungkin akan terkorban.

Katanya, ini akibat berdepan dengan penyakit berpunca daripada penjagaan kesihatan yang semakin merosot di Gaza, berbanding mereka yang terkorban dalam serangan Israel.

Menurutnya, sebanyak 111,000 kes penyakit pernafasan akut, 75,000 kes cirit-birit, 24,000 kes ruam kulit manakala 12,000 kes kudis direkodkan di Gaza.

Author

Pilihan Editor