CYBERJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyarankan orang ramai supaya tidak menjual tanah milikan sendiri demi mendapat keuntungan dengan cara mudah.
Hal ini kerana jelasnya, harga tanah akan meningkat sepanjang masa, yang mana ketika ini ia didakwa lebih tinggi berbanding 10 tahun lalu.
Tambahnya, pemilik akan mengalami kerugian sekiranya tanah dijual pada masa sekarang, memandangkan harganya akan meningkat lebih tinggi pada masa akan datang.
Justeru, Dr Mahathir menyarankan para pemilik supaya menyewakan tanah mereka bagi mendapat keuntungan dalam jangka masa panjang.
“Jika kita jual sekarang kita tidak akan dapat kenaikan sewa di masa hadapan. Sebab itu adalah lebih baik jika kita sewakan daripada menjual.
“Jika kita bangunkan tanah dengan bercucuk tanam atau mendiri bangunan harga tanah akan melonjak naik dengan lebih cepat.
“Umpamanya tanah dalam bandar boleh naik sehingga RM7,000/- satu kaki persegi. Tanah yang belum dibangun bernilai hanya RM5/- satu kaki persegi,” katanya dalam hantaran di laman Facebook pada Selasa.
Tambah Dr Mahathir, sekiranya pemilik masih memilih untuk menjual tanah, maka mereka hanya akan memperoleh keuntungan dalam jangka masa pendek berikutan wang hasil jualan akan habis dibelanjakan.
Ujarnya, penjual juga akan kembali bermasalah apabila wang yang diperoleh habis digunakan sedangkan semua tanah telah habis dijual.
“Bagi sewa atau jadikan nilai tanah sebagai modal pelaburan apabila pembangunan dibuat oleh penyewa. Fikir.
“Kalau nilai tanah RM5/- dijadikan modal pelaburan sebanyak 10 peratus, apabila nilai naik RM1,000/- nilai pelaburan 10 peratus jadi RM100/-. Jika nak jual tanah, fikir dahulu. Tanya orang yang tahu,” sarannya lagi.