MENJADI seorang yang kaya-raya dan digelar jutawan bukanlah petanda bahawa seorang pengasas syarikat terkemuka itu harus menaiki kereta mewah semata.
Hal ini kerana di India, seorang lelaki bergelar ‘billionaire’ sanggup menaiki kereta api awam berbanding kereta dari Mumbai ke Ulhasnagar, lapor portal Money Control.
Pengasas bersama dan pengarah urusan Hiranandani Group, Niranjan Hiranandani, 73, berkata, dia menaiki kereta api untuk menjimatkan masa dan mengelakkan kesesakan lalu lintas di Mumbai.
Video yang dikongsinya di Instagram memaparkan dia menunggu di platform bersama penumpang lain dan kemudian menaiki gerabak kereta api.
Beberapa anggota rombongannya dilihat menemani jutawan itu ketika dalam perjalanan.
Malah, Hiranandani yang merupakan ‘taikun’ hartanah turut dilihat berinteraksi tanpa kekok dengan penumpang yang lain.