CYBERJAYA: Polis mengesahkan mayat seorang lelaki di dalam kereta jenis Perodua Bezza di kawasan parkir car boot sale Damansara, Kota Damansara, di Petaling Jaya, telah meninggal dunia lebih lima hari.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M. Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat sekitar pukul 12.04 tengah hari, semalam.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berusia 40-an dan dijumpai dalam keadaan terbaring di ruangan pemandu kereta terbabit.
“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam sebuah kereta jenis Perodua Bezza.
“Hasil siasatan mendapati mangsa meninggal dunia dalam tempoh melebihi lima hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Katanya, orang ramai yang melihat atau berada di tempat kejadian diminta untuk tampil ke balai polis bagi membantu siasatan.
“Orang ramai juga boleh berhubungan secara terus dengan Ketua Polis Balai Kota Damansara, Asisten Superintendan, Mohd Nasir Mustapha di talian 011-32052062 bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Terdahulu, tular di media sosial berhubung penemuan mayat seorang lelaki di dalam sebuah kereta hingga menggemparkan pengunjung serta peniaga di tapak jualan but kereta (car boot sale) Damansara, Kota Damansara.