HomeBeritaPolitikMuhyiddin ‘malu’ berunding dengan Anwar - Puad Zarkashi

Muhyiddin ‘malu’ berunding dengan Anwar – Puad Zarkashi

CYBERJAYA: Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa bahawa Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berasa ‘malu’ untuk mengadakan rundingan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung peruntukan pembangunan kepada wakil rakyat gabungan itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, Muhyiddin sebaliknya lebih rela menanggung risiko Ahli-Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyokong Anwar.

Mohd Puad berkata, PN juga masih ‘bernafsu’ untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan melalui pintu belakang.

“Muhyiddin juga yakin dia boleh kembali jadi Perdana Menteri. Maka apa perlunya berunding?

“Tetapi paling pokok, Muhyiddin rasa amat aib dengan UMNO. Berunding dengan Anwar umpama mengemis pada UMNO kerana UMNO adalah co-pilot Kerajaan Perpaduan.

“Dia tahu UMNO bukan penumpang,” katanya mnerusi hantaran di laman Facebook pada Jumaat.

Terdahulu, isu peruntukan Ahli Parlimen pembangkang menjadi perdebatan hangat di Dewan Rakyat, selain menjadi antara faktor utama lima Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri.

Anwar sebelum ini menegaskan, beliau tidak pernah meletakkan syarat kepada mana-mana ahli Parlimen supaya mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan jika mahu mendapatkan peruntukan.

Anwar berkata, beliau hanya meminta pihak pembangkang untuk mengadakan rundingan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, namun setakat ini belum ada perundingan rasmi dilakukan.

Author

Pilihan Editor