HomeNiagaUsahawanPUNB ketengahkan produk 12 usahawan tempatan di Dubai

PUNB ketengahkan produk 12 usahawan tempatan di Dubai

DUBAI: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) mengambil inisiatif membawa 12 usahawan Malaysia ke Dubai bagi membuka ruang perniagaan dan peluang mengembangkan potensi produk mereka di Dubai sempena PUNB Trade Fair Dubai 2023.

Program tiga hari bermula hari ini hingga Ahad berlangsung di Souk Al Marfa, Dubai menampilkan jenama berpotensi Malaysia iaitu Mokti’s Aiskrim, Yosh, Sambal Omak Jenny, Wirdora, Tamu Gold, Kapten Batik, Kopiah Industry, Milymaryam, Dolsa, Keef & Nish, Nims Chocotub dan Mimpi Kita.

Pengurus Besar (Operasi) PUNB, Fauzi Zakaria, berkata usaha membawa 12 usahawan itu ke Dubai adalah satu inisiatif mengenengahkan produk usahawan di bawah PUNB untuk dipasarkan di negara lain.

Beliau berkata, pemilihan usahawan itu juga dibuat berdasarkan kualiti dan keupayaan produk mereka untuk dipasarkan di peringkat antarabangsa.

“Antara usahawan yang dibawa ke sini bukan saja mereka yang berada dalam skim pembiayaan PUNB tetapi juga syarikat yang berpotensi dan menunjukkan minat untuk bersama perbadanan ini.

“Inisiatif ini juga dijangka mampu membuka mata usahawan yang lain mengenai usaha PUNB membantu mengembangkan produk mereka ke satu tahap yang lebih tinggi selain menembusi pasaran luar negara.

“Harapan kami dengan adanya usaha sebegini akan membuka minat lebih ramai usahawan untuk bersama PUNB bagi menambah nilai kebolehpasaran produk mereka pada masa depan,” katanya ketika ditemui di sini.

Pengarah Kopiah Industry Sdn Bhd, Rusydi Afandi Osthman, berkata beliau gembira diberi peluang untuk memperkenalkan produk buatan Malaysia di Dubai.

Katanya, sekurang-kurangnya produk beliau yang selama ini lebih tertumpu dalam negara mampu diangkat dan diperkenalkan di pasaran antarabangsa.

Pengarah Operasi PMA Rich Sdn Bhd, Pengiran Muhammad Adil Awang Iskanderdzulkarnein, berkata meskipun belum berada dalam skim pembiayaan PUNB, kini berminat untuk bersama selepas melihat usaha serius perbadanan itu dalam mengembangkan potensi produk syarikat tempatan.

“Saya sendiri tak sangka terpilih untuk hadir dalam program di Dubai ini meskipun jenama Mokti’s Aiskrim baru empat tahun bertapak di Malaysia.

“Sekurang-kurangnya produk ais krim gula apong yang terkenal di Sarawak dapat diperkenalkan di Dubai dengan harapan mampu juga menembusi pasaran negara lain,” katanya. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor