CYBERJAYA: Negeri Sembilan tampil memperkenalkan beras putih tempatan berkualiti dengan jenamanya sendiri dikenali Seri Menanti hasil tuaian dari kawasan sawah di Terachi, Kuala Pilah.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sebagai permulaan, hanya tiga tan beras sahaja dikeluarkan dan dijangkakan jumlah meningkat dalam mengeluarkan lebih banyak hasil padi pada masa akan datang.
“Ia simbolik yang cukup besar, pengeluaran beras ini sebagai lambang komitmen kerajaan negeri bagi memastikan hasil padi di Negeri Sembilan dapat dipertingkatkan, kita tahu, pengeluaran padi di negeri ini masih rendah.
“Ia masih tidak mampu untuk tampung permintaan serta untuk dikomersialkan tetapi kita mahu galakkan, ia diperkenalkan sebagai semangat dan dorongan selain supaya masyarakat Negeri Sembilan menghargai usaha-usaha ini,” katanya memetik Utusan.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pesta Bola Ngoca 2023 di Stadium Bola Sepak Sawah, Perkampungan Budaya Terachi, Seri Menanti di Kuala Pilah, hari ini.
Sempena keluaran pertama ini, beras Seri Menanti akan dijual sebanyak 2,500 peket pada dua hari penganjuran acara berkenaan ditawarkan pada harga RM2 bagi pek satu kilogram dan RM6 bagi tiga kilogram.